"Semoga Segala Usaha Akan Membuahkan Hasil Dan Pulangan Kepada Semua..InsyaAllah..Aamiin

Tuesday 4 December 2012

Draf Perlembagaan Persatuan ALUMNI SMRS/SMKRS Beruas Perak.

Untuk mike2 yang berhajat bertandang ke perhimpunan agung nanti....baca n teliti la...kot2 nk super impose lg ker dialu2kan supaya penambahbaikan dan kesetujuan menjadi agenda bersama.

28 Fasal kesemuanya...nanti jgn cari pasai dh ler yer....

Selamat bersidang mike2 semua....

25 Disember 2012
Dewan Indera Wati Beruas
10.00 pagi




FASAL 1
NAMA
Nama persatuan ini ialah PERSATUAN ALUMNI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN RAJA SHAHRIMAN BERUAS PERAK ( formally known as SEKOLAH MENENGAH RAJA SHAHRIMAN) dan selepas ini disebut sebagai “PERSATUAN”.

FASAL 2
ALAMAT BERDAFTAR/POS
(1)     Alamat berdaftar/posnya ialah:
c/o Smk Raja Shahriman Jalan Parit, 32700 Beruas

(2)     Alamat berdaftar/posnya tidak boleh diubah tanpa mendapat kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

 FASAL 3
TUJUAN-TUJUAN
Tujuan-tujuan alumni ialah seperti berikut:-
(1)    Mengumpul bekas penuntut dan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Shahriman  bagi menyumbang kepada pembangunan sekolah dari segi akademik dan kokurikulum serta aktiviti sekolah ke arah perkembangan modal insan secara holistik.
(2)    Mengutip wang bagi menambah dana alumni dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Pendaftar Pertubuhan dan pihak berkenaan.

 FASAL 4
KELAYAKAN MENJADI AHLI
Keahlian adalah terbuka kepada semua bekas penuntut dan guru Sekolah Menengah Raja Shahriman yang berusia 18 tahun ke atas.



FASAL 5
PERMOHONAN MENJADI AHLI
(1)    Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah disertakan dengan borang permohonan yang telah diisi dan hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung yang hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Tertinggi untuk diluluskan. Jawatankuasa Tertinggi boleh mengikut budibicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.
(2)    Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas hendaklah, setelah membayar bayaran pendaftaran seperti yang ditentukan, diterima menjadi ahli alumni dan berhaklah ia sebagai ahli.

FASAL 6
DAFTAR KEAHLIAN
Setiausaha Agung hendaklah menyimpan Daftar Keahlian yang mengandungi butir-butir seperti berikut:-
(1)     Nombor siri
(2)     Tarikh menjadi ahli
(3)     Nama penuh
(4)     Tarikh dan tempat beranak
(5)     Nombor kad pengenalan
(6)     Kerakyatan
(7)     Pekerjaan dan alamat bekerja
(8)     Alamat tinggal
(9)     Nombor telefon



FASAL 7
BAYARAN PENDAFTARAN DAN BAYARAN-BAYARAN LAIN
(1)    Bayaran pendaftaran adalah RM25.00 sahaja.
(2)    Selain dari bayaran pendaftaran, ahli adalah digalakkan untuk menyumbang kepada dana alumni.
(3)    Sumbangan khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli.

FASAL 8
KEBERHENTIAN
Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli hendaklah memberi kenyataan yang bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung dan membayar segala hutangnya, jika ada.

FASAL 9
PEMECATAN
(1)    Seseorang ahli pada pendapat Jawatankuasa Tertinggi tidak menurut sebarang peraturan atau melakukan kesalahan tatatertib yang boleh merosakkan nama baik alumni boleh diminta supaya berhenti daripada menjadi ahli pada bila-bila masa oleh Jawatankuasa Tertinggi.
(2)    Seseorang ahli yang engkar berhenti daripada menjadi ahli sebagaimana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi di dalam mesyuaratnya boleh dipecat daripada menjadi ahli dengan satu notis pemecatan yang dikeluarkan ke atas ahli tersebut. Notis itu hendaklah menyatakan sebab-sebab pemecatannya.
(3)    Seseorang ahli yang telah dipecatkan daripada menjadi ahli menurut fasal ini boleh merayu kepada Mesyuarat Agung atas pemecatannya siapa akan memberi keputusan yang muktamad.
(4)    Seseorang ahli yang telah dipecat tidak boleh diterima semula menjadi ahli dalam tempoh satu tahun dari tarikh ia dipecatkan dari menjadi ahli. Jawatankuasa Tertinggi boleh menimbangkan permohonan untuk menjadi ahli semula dengan syarat-syarat yang akan ditentukan.

FASAL 10
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
(1)    Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah akhir tahun kewangan, pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi tetapi tidak lewat daripada 31 Mac.
(2) kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah seperti berikut:-
(a)    Menerima laporan Jawatankuasa Tertinggi berkenaan kerja-kerja alumni di dalam tahun yang lalu.
(b)    Menerima laporan Bendahari Kehormat dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu.
(c)     Memilih ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan melantik Juruaudit untuk dua tahun yang akan datang.

(d)    Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(3)    Pengumuman awal mengenai Mesyuarat Agung Tahunan yang menerangkan tarikh, waktu dan tempat, dan panggilan untuk memberi cadangan-cadangan yang hendak dibicarakan dan cadangan-cadangan untuk meminda undang-undang hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha Agung kepada tiap-tiap ahli tidak lewat daripada 30 hari
sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat, dan pengumuman itu hendaklah ditunjukkan supaya jelas kelihatan di alamat berdaftar alumni.

(4)    Cadangan-cadangan untuk dirundingkan di dalam mesyuarat hendaklah dihantar supaya sampai kepada Setiausaha Agung tidak lewat 14 hari selepas penerimaan pengumuman mesyuarat.

(5)    Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya   7 harisebelum diadakan mesyuarat satu agenda termasuk salinan-salinan minit mesyuarat dan laporan-laporan, cadangan-cadangan beserta dengan Penyata Kira-Kira alumni bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini hendaklah senang diperolehi untuk dibaca oleh ahli-ahli dari alamat berdaftar alumni.


FASAL 11
KUORUM DAN PENANGGUHAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
(1)    Sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah ahli-ahli yang layak mengundi atau dua kali ganda bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi, ikut mana yang kurang ramai bilangannya hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi kuorum untuk mesyuarat.
(2)    Jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada satu tarikh tidak lebih daripada 30 hari yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tertinggi, dan jika kuorum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang alumni dan membuat keputusan-keputusan mengenai semua ahli.

FASAL 12
MESYUARAT AGUNG KHAS
(1)    Mesyuarat Agung Khas boleh diadakan:-
(a)    Bila ada perkara-perkara yang perlu diputuskan dengan segera oleh Jawatankuasa Tertinggi atau
(b)    Atas permintaan bertulis oleh tidak kurang daripada 20 orang ahli yang layak mengundi dengan menerangkan tujuan-tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.
(2)    Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam satu tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
(3)    Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan kepada semua ahli oleh Setiausaha Agung sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

FASAL 13
KUORUM DAN PENANGGUHAN MESYUARAT AGUNG KHAS
Fasal 11 berkenaan kuorum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas pemintaan ahli-ahli maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan, dan sekurang-kurangnya 6 bulan daripada tarikh ini Mesyuarat Agung Khas atas pemintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

FASAL 14
DRAF MINIT MESYUARAT AGUNG
Setiausaha Agung hendaklah menghantar kepada semua ahli salinan minit mesyuarat tiap-tiap Mesyuarat Agung dengan seberapa segera setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 15
JAWATANKUASA TERTINGGI
(1)    Senarai Jawatankuasa Tertinggi yang dinamakan pegawai-pegawai alumni adalah seperti berikut:
Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Seorang Setiausaha Agung
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari Kehormat
Seorang Penolong Bendahari
5 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

(2)    Nama-nama untuk jawatan-jawatan yang di atas hendaklah dicadang dan disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli yang layak mengundi didalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula.
(3)    Setiap ahli Jawatankuasa Tertinggi dan setiap pegawai yang menjalankan tugas-tugas pemerintah hendaklah warganegara Malaysia. Ahli Jawatankuasa Tertinggi dan pegawai yang bukan warganegara Malaysia dibolehkan memegang jawatan dalam alumni dengan syarat mendapat kebenaran daripada Pendaftar Pertubuhan.



FASAL 16
FUNGSI JAWATANKUASA TERTINGGI
(1)    Tugas Jawatankuasa Tertinggi ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian alumni dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan alumni dengan tidak terkeluar dari dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa Tertinggi seharusnya tidaklah boleh membuat tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa Tertinggi mestilah taat kepada keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa Tertinggi hendaklah memberi laporannya berkenaan kegiatan-kegiatannya di dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
(2)    Jawatankuasa Tertinggi hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tempoh tiga bulan dan 3 hari pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberi kepada ahli-ahli. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada tiga orang ahli Jawatankuasa Tertinggi bersama-sama boleh memanggil supaya setengah daripada bilangan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan kuorum mesyuarat.
(3)    Ahli Jawatankuasa Tertinggi yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Tertinggi.
(4)    Jika terdapat kekosongan atau perletakan jawatan di dalam Jawatankuasa Tertinggi maka Jawatankuasa Tertinggi bolehlah memenuhkan kekosongan itu dengan melantik mana-mana ahli-ahli untuk mengisikannya sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
(5)    Jawatankuasa Tertinggi boleh melantik kakitangan-kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkannya atau melucutkan jawatan sebarang kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa Tertinggi, atau sebab-sebab yang difikirkan merosakkan nama baik alumni.






FASAL 17
BIDANG TUGAS PEMEGANG-PEMEGANG JAWATAN
(1)    Presiden, dalam masa jawatannya, hendaklah mempengerusikan semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat-mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan-peringatan mesyuarat bila telah diluluskan.
(2)    Timbalan Presiden hendaklah menolong Presiden menjalankan tugas-tugasnya dan  memangku jawatan Presiden semasa ketiadaannya.
(3)    Setiausaha Agung hendaklah menjalankan kerja-kerja alumni mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah-perintah Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi. Ia bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat-menyurat dan menyimpan semua buku-buku dan kertas-kertas kecuali kira-kira dan buku-buku kewangan.
(4)    Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha Agung menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha Agung.
(5)    Bendahari Kehormat adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan alumni. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab diatas kebetulannya.
(6)    Penolong Bendahari hendaklah menolong Bendahari Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Bendahari Kehormat.
(7)    Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi biasa lain hendaklah menjalankan tugas-tugas tertentu sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi.








FASAL 18
KEWANGAN
(1)    Tahun kewangan alumni hendaklah bermula pada 1hb Januari dan berakhir pada 31hb Disember tiap-tiap tahun.
(2)    Wang pertubuhan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan alumni termasuklah pelaburan atau hasil daripada perniagaan yang diluluskan oleh mesyuarat Agung, perbelanjaan pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan kakitangan tetapi walau bagaimanapun tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman Mahkamah atau dibahagikan sebagai bonus atau dividen kepada ahli-ahli.
(3)    Bendahari Kehormat dibolehkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM500.00 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan dalam tempoh 7 hari ke dalam bank yang disetujui oleh Jawatankuasa Tertinggi. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama alumni.

(4)     Segala cek-cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira alumni hendaklah ditandatangani bersama oleh Bendahari Kehormat dan Setiausaha Agung atau Presiden.
(5)    Perbelanjaan yang kurang daripada RM5,000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Presiden atau Timbalan Presiden manakala perbelanjaan yang lebih daripada RM5,000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa Tertinggi dan perbelanjaan yang lebih daripada RM100,000.00 bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran daripada Mesyuarat Agung terlebih dahulu.
(6)    Penyata dari hal wang yang diterima dan dibelanjakan beserta timbangan kira-kira bagi setiap tahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh juruaudit mengikut Fasal 19, dengan seberapa segera setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan yang berikutan, dan salinan-salinannya hendaklah boleh diperolehi untuk makluman ahli dari alamat berdaftar alumni.




FASAL 19
AUDIT
(1)    Seorang yang bukannya pemegang jawatan alumni boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai juruaudit. Ia akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.
(2)    Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira alumni bagi setahun, dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Ia harus juga dikehendaki bila-bila masa oleh Presiden memeriksa kira-kira alumni bagi mana-mana masa di dalam tempoh jawatan ia dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Tertinggi.

FASAL 20
PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DI BAWAH
SEKSYEN 9(b) AKTA PERTUBUHAN , 1966

(1)    Tiga pegawai yang terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan dan berusia lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi maksud Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan, 1966.
(2)    Mereka hendaklah memegang jawatan mereka sehingga tempoh bagi mereka memegang jawatan berakhir di Mesyuarat Agung Tahunan dua tahun akan datang dan layak dilantik semula.
(3)    Pegawai-pegawai yang dilantik dibawah undang-undang ini hendaklah mengurus harta tetap alumni sebagaimana yang dikehendaki oleh Mesyuarat Agung tetapi semua harta tetap alumni hendaklah didaftar atas nama alumni.
(4)    Mereka tidak boleh menjual, menarik balik atau menukarkan harta kepunyaan alumni dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh ahli-ahli Mesyuarat Agung.
(5)    Seorang pegawai yang diperakukan boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana sakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain-lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seorang pegawai yang diperakukan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Mesyuarat Agung Khas, yang diadakan untuk tujuan tersebut.


FASAL 21
JAWATANKUASA KECIL
Jawankuasa Tertinggi adalah berkuasa melantik Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil bagi menjalankan urusan-urusan alumni yang mana difikirkan perlu dan berguna, dan menarik daripada Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil semua atau mana-mana kuasa-kuasa yang diberi dan membatalkan semua perlantikan-perlantikan tertentu. Mana-mana Jawatankuasa Kecil yang dilantik hendaklah, dalam menggunakan kuasa-kuasa yang diberi patuh kepada mana-mana peraturan-peraturan yang dikenakan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa Tertinggi.

FASAL 22
PERATURAN-PERATURAN (REGULATIONS)
Peraturan-peraturan (Regulations) boleh dibuat untuk perkara-perkara yang tertentu asalkan tidak bertentangan dengan undang-undang ini. Sesuatu peraturan yang dibuat hendaklah mendapat kelulusan dari Mesyuarat Agung sebelum ianya dikuatkuasakan.

 FASAL 23
PENASIHAT/PENAUNG
Penasihat/Penaung alumni boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung atas cadangan Jawatankuasa Tertinggi.

FASAL 24
KEROSAKAN/PEMINDAHAN HARTA BENDA ALUMNI
(1)    Mana-mana ahli alumni memecah atau merosakkan mana-mana harta alumni hendaklah membayar harga bagi membaiki atau mengganti harta itu, jika dipinta berbuat demikian oleh Jawatankuasa Tertinggi.
(2)    Buku-buku, majalah-majalah, surat-surat khabar atau mana-mana harta alumni tidak boleh dipindah daripada alumni dengan tidak ada kebenaran daripada Jawatankuasa Tertinggi.



FASAL 25
LAPORAN TAHUNAN
Setiausaha Agung hendaklah menghantar laporan tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan dengan menggunakan borang yang ditentukan dalam tempoh 60 hari setelah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan atau sekiranya tiada Mesyuarat itu diadakan sekali pada setiap tahun kalendar.

FASAL 26
PINDAAN UNDANG-UNDANG
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Pengubahan-pengubahan dan pindaan-pindaan kepada undang-undang hanya boleh dikuatkuasa mulai tarikh ianya diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 27
PERUNTUKAN-PERUNTUKAN KHAS
(1)    Mana-mana penuntut universiti atau kolej tidak boleh diterima menjadi ahli kecuali telah mendapat kebenaran secara bertulis daripada Naib Caunselor universiti berkenaan.
(2)    Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidaklah boleh diberi oleh alumni kepada mana-mana ahli.
(3)    Mana-mana orang tidak boleh memegang jawatan dalam alumni, menjadi penasihat atau pekerja alumni jika ia telah hilang kelayakan menurut Seksyen 9(A) Akta Pertubuhan, 1966.
(4)    Alumni tidak boleh membenarkan tempatnya sebagai tempat perjudian atau sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.
(5)    Alumni tidak akan melibatkan dirinya dalam pentadbiran sekolah samada secara langsung atau tidak langsung.
(6)    Mereka yang masih belajar di mana-mana sekolah adalah dilarang daripada menjadi ahli.



FASAL 28
PEMBUBARAN
(1)    Alumni ini boleh dibubar dengan sukarela berdasarkan satu usul yang tidak kurang dari tiga per lima (3/5) dari jumlah keahlian yang layak mengundi di dalam Mesyuarat Agung ahli-ahli yang dipanggil khas untuk tujuan tersebut.
(2)    Sekiranya alumni ini dibubar berdasarkan kehendak di atas, semua hutang dan tanggungan alumni ini yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelas sepenuhnya dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung ahli-ahli.
(3)    Keputusan mengenai pembubaran seperti yang tersebut di atas hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan di dalam tempoh 14 hari dari tarikh pembubaran.

1 comment: